Monday 9 September 2013

PROGRAM KEBOLEHPASARAN GRADUAN SKIM LATIHAN 1MALAYSIA (SL1M)

Program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) merupakan cetusan idea YAB Perdana Menteri Malaysia bagi menangani isu graduan yang sukar mendapatkan pekerjaan selepas tamat tempoh pengajian terutama kepada mereka yang datang dari keluarga berpendapatan rendah serta tinggal di kawasan pedalaman. Objektif pelaksanaan program ini untuk membantu graduan yang tidak bekerja meningkatkan tahap kebolehpasaran (employability) atau keupayaan graduan mendapatkan pekerjaan yang baik dalam pasaran tenaga kerja berkemahiran dan berkualiti seterusnya meningkatkan taraf hidup keluarga mereka. Program ini diselia oleh Seksyen Pembangunan Modal Insan (PMI), Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (UPE, JPM).

Program SL1M dijayakan melalui kerjasama dan komitmen daripada Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLCs) dan syarikat swasta seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak yang dilaksanakan secara amal jariah serta Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR). Peserta yang menyertai program ini akan menjalani Soft-Skills-Training dan On-Job-Training dengan pihak syarikat yang mengambil bahagian bagi meningkatkan keyakinan diri dan kebolehpasaran graduan untuk mendapat pekerjaan di syarikat yang menyediakan latihan, tertakluk kepada kekosongan jawatan dan prestasi setiap peserta. Selain itu, graduan juga diberi pendedahan serta pengalaman kerja yang sebenar di syarikat-syarikat yang terdiri daripada pelbagai sektor di seluruh Malaysia.

Dalam merealisasikan usaha Kerajaan untuk meningkatkan serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan sekaligus mengurangkan kadar pengangguran di Malaysia, Insentif Potongan Cukai Berganda kepada syarikat yang menyertai Program SL1M telah diberikan ke atas perbelanjaan yang dikeluarkan bagi melatih graduan di bawah Program SL1M. Dengan adanya insentif ini, ianya dapat menarik lebih banyak penglibatan syarikat di samping membantu mengurangkan kadar kos yang ditanggung oleh syarikat. Melalui program ini, syarikat akan menerima manfaat dengan mendapat calon yang berpotensi sebagai pekerja syarikat bagi membantu membangunkan syarikat di masa hadapan.

Program SL1M telah mendapat sambutan dan penyertaan yang menggalakkan dari GLCs dan syarikat swasta (kecil, sederhana dan besar) serta para graduan semenjak dilancarkan pada 1 Jun 2011. Statistik setakat Mei 2013 telah menunjukkan Sekretariat SL1M telah menerima sebanyak 30,057 pemohonan graduan yang telah berdaftar dengan SL1M dan JobsMalaysia. Sebanyak 120 GLCs dan syarikat swasta telah menyatakan minat menyertai program SL1M secara CSR dan telah memberikan komitmen yang tinggi dalam menjayakan program ini. Bagi Sesi 2012/2013, seramai 10,897 graduan telah diterima masuk dan mendapat tempat di dalam Program SL1M. Daripada jumlah itu, seramai 9,250 (85%) graduan telah berjaya memperolehi pekerjaan manakala seramai 1,647 (15%) graduan lagi sedang dibantu dan masih menjalani latihan di syarikat-syarikat yang terlibat di bawah Program SL1M.

Sekretariat SL1M di UPE, JPM sering giat melaksanakan Outreach Programme di seluruh Malaysia bagi mempromosikan SL1M kepada graduan juga mengadakan taklimat insentif cukai kepada syarikat yang berminat untuk menyertai SL1M. Sokongan dan kerjasama jitu dari pihak Kementerian, Kerajaan Negeri dan swasta telah memantapkan lagi kejayaan Program SL1M ini dari semasa ke semasa.

Pautan : https://www.facebook.com/pages/Skim-Latihan-1Malaysia-SL1M/399895230070551?ref=stream

No comments:

Post a Comment